Sunday, 13 December 2015

PERMOHONAN LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA (TOL)

Di bawah Seksyen 65 KanunTanah Negara
Suatu kebenaran dalam bentuk lesen yang bersifat sementara diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana pihak yang diberikan kuasa untuk suatu tujuan yang telah dikhaskan di mana tanpanya seseorang itu akan dianggap sebagai penceroboh dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

SIAPA YANG LAYAK MEMOHON
  1. Warganegara Malaysia selain remaja
  2. Perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan masing-masing memegang tanah
  3. Raja-raja memerintah, kerajaan, organisasi dan lain-lain orang yang diberi kuasa memegang tanah di bawah Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957
  4. Badan-badan yang diberikuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah undang-undang bertulis masing-masing
     
BAGAIMANA MEMOHON
  1. Dibuat melalui Pentadbir Tanah
  2. Dibuat oleh Pemilik Tanah Sendiri
  3. Permohonan hendaklah disertakan dengan segala dokumen yang berkaitan.
CARA MEMOHON
  1. Permohonan dibuat oleh pemohon melalui Pejabat Tanah Daerah, pemohon perlu membeli pelan untuk kawasan yang dipohon
  2. Pemohon perlu mengisi borang LPS di Pejabat Tanah DaerahBorang yang telah lengkap diisi perlu dikemukan semula ke Pejabat Tanah Daerah beserta dokumen berikut:
  • salinan kad pengenalan pemohon
  • 2 salinan Pelan Lokasi / kedudukan tanah
  • 1 salinan Lesen Pendudukan Sementara ( jika ada )
FI PERMOHONAN
  • Kadar bayaran permohonan akan dikenakan di Pejabat Tanah Daerah
KADAR PREMIUM YANG DIKENAKAN
  • Mengikut Kaedah Tanah Selangor
KUASA MELULUSKAN
  • Pihak Berkuasa Negeri

LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA (LPS)




1. Definisi
Lesen Pendudukan Sementara ialah satu bentuk pelupusan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri iaitu satu cara di mana Pihak Berkuasa Negeri membenarkan tanah tertentu diduduki atau digunakan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 42(1) (c) KTN.

2. Peruntukan Undang-Undang
2.1 Seksyen 42(1) (c), KTN
      Kuasa pelupusan
(1)  Tertakluk kepada Seksyen kecil (2) Pihak Berkuasa Negeri hendaklah mempunyai kuasa di bawah Akta ini:-
(c)   untuk membenarkan pendudukan tanah Kerajaan, tanah rezab dan tanah lombong di bawah Lesen Pendudukan Sementara yang dikeluarkan menurut peruntukan-peruntukan Bab 2 Bahagian Empat;

2.2  Seksyen 43, KTN  
       Orang-orang dan badan-badan yang boleh dilupuskan tanah kepadanya.
      Tertakluk kepada peruntukan Bahagian Tiga Puluh Tiga (A), Kuasa pelupusan yang diberi kepada Pihak Berkuasa Negeri oleh Seksyen 42 bolehlah dijalankan hanya untuk faedah, dan permohonan untuk menjalankan kuasa itu bolehlah diterima hanya daripada orang-orang atau badan-badan berikut:-
a) manusia selain daripada remaja;
b) perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan mereka untuk memegang tanah;
c) raja-raja pemerintah, kerajaan, organisasi dan lain-lain orang yang diberikuasa untuk memegang tanah di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957;
d) badan-badan yang diberikuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain.
    Dengan syarat bahawa tidaklah menjadi perlu bagi sesebuah perbadanan mempunyai kuasa memegang tanah untuk membolehkannya memohon, dan dikeluarkan kepadanya, sesuatu permit untuk mengeluarkan dan mengambil bahan-bahan batuan.

2.3 Seksyen 65, KTN
       Kuasa Melesenkan Pendudukan Tanah Kerajaan, Tanah Lombong dan Tanah Rizab
(1)   Pihak Berkuasa Negeri bolehlah, menurut peruntukan-peruntukan Bab ini dan mana-mana kaedah di bawah Seksyen 14, membenarkan pendudukan sementara di bawah lesen –
a) tanah Kerajaan;
b) tanah lombong yang pada masa itu tidak digunakan untuk maksud-maksud perlombongan;
c) tanah rizab pada masa itu tidak digunakan untuk maksud-maksud yang ianya dirizabkan ;

(2)   Lesen-lesen pendudukan sementara bolehlah dikeluarkan untuk apa-apa maksud selain daripada apa yang ditegah oleh Seksyen kecil (2) Seksyen 42.

2.4  Sek.66, KTN
       Pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara.
   Lesen-lesen pendudukan sementara bolehlah, tertakluk kepada apa-apa arahan yang sebaliknya oleh Pihak Berkuasa Negeri dan kepada peruntukan-peruntukan mana-mana kaedah di bawah Seksyen 14, dikeluarkan dan diperbaharui bagi Pihak Berkuasa Negeri -
a) dalam hal tanah Kerajaan, oleh Pentadbir tanah;
b) dalam hal tanah lombong, oleh Pentadbir Tanah yang bertindak dengan kelulusan -

i) Merinyu Kanan Galian, atau mana-mana pegawai lain yang pada masa itu boleh ditugaskan dengan pentadbiran di dalam Negeri itu mengenai apa-apa undang-undang bertulis yang berkaitan dengan perlombongan, dan juga dengan kelulusan mana-mana pemegang pajakan tanah itu;

ii) orang atau badan yang pada masa itu berhak mendapat kepentingan pajakan atau sijil perlombongan  dalam persoalan;
c) dalam hal tanah rizab -

i) oleh Pentadbir Tanah yang bertindak dengan kelulusan pegawai pada masa itu mempunyai kawalan ke atasnya; atau

ii) oleh Pegawai itu, bila dan setakat mana yang ianya diwibawakan selaku pegawai itu oleh Pihak Berkuasa Negeri;
  Dengan syarat bahawa tiada apa-apa dalam seksyen ini boleh mewibawakan Pentadbir Tanah untuk mengeluarkan lesen pendudukan sementara mengenai mana-mana sungai sebagaimana yang diisytiharkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta bagi maksud proviso ini.

2.5 Sek. 67, KTN
   Jangkamasa, Syarat-Syarat, dll. 
   dan bentuk Lesen Pendudukan Sementara.

(1) Kecuali setakat mana yang ditetapkan sebaliknya, tiap-tiap lesen pendudukan sementara selain dari yang mana Seksyen 69 dipakai (iaitu, satu lesen pendudukan sementara yang disatukan dengan satu permit untuk mengeluarkan dan mengambil bahan batuan) hendaklah dikeluarkan bagi satu tempoh yang tamat tidak lewat daripada penghujung tahun kalendar yang ianya bermula; dan tertakluk kepada Seksyen kecil (3) bolehlah diperbaharui pada tiap-tiap tahun;
Dengan syarat bahawa satu lesen yang dikeluarkan untuk maksud membolehkan mana-mana pertunjukan awam atau hiburan diadakan bolehlah dikeluarkan untuk apa-apa tempoh lain sebagaimana yang sesuai dalam keadaan-keadaan itu.

(2) Tiap-tiap lesen pendudukan sementara akan mempunyai kesan-kesan tertakluk kepada apa-apa peruntukan sebagaimana yang terkandung di dalamnya, setakat mana yang tidak bercanggah dengannya, kepada apa-apa peruntukan lain yang akan ditetapkan.

(3) Tertakluk kepada syarat di bawah mana satu lesen pendudukan sementara telah dikeluarkan, Pentadbir Tanah bolehlah atas permohonan oleh pemegang lesen membaharui lesen sedemikian itu bagi satu tempoh yang tidak lebih dari satu tahun calendar:
Dengan syarat bahawa tidaklah boleh ada lebih dari tiga pembaharuan yang dibuat mengenai sesuatu lesen pendudukan sementara melainkan suatu kebenaran bertulis yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri telah didapati terlebih dahulu.


(4) Tiap-tiap lesen pendudukan sementara selain dari yang mana Seksyen 69 dipakai hendaklah dibuat di atas Borang 4A, dan dalam hal pembaharuan lesen sedemikian itu hendaklah dicatiterakan suatu nota pembaharuan itu dan tarikh yang ianya dijangka tamat.