Prosedur Mendapatkan Tanah
Dalam hal pengambilan mana-mana
tanah untuk kegunaan kementerian / jabatan persekutuan (tidak termasuk
badan-badan berkanun persekutuan yang boleh memiliki tanah di atas nama mereka
sendiri), prosedur berikut hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
1. Pemilihan Tanah
Dua tahun sebelum tarikh
satu-satu tanah itu dikehendaki, kementerian / jabatan yang berkehendakkan
tanah itu hendaklah terlebih dahulu menentukan tapak yang diperlukannya.
Penentuan ini hendaklah dibuat dengan cara rundingan diantara kementerian /
jabatan yang memerlukan tanah itu dengan pegawai daerah/pentadbir tanah (PT)
yang berkenaan. Rundingan ini perlu dibuat melalui jawatankuasa pemilihan tapak
daerah dan hendaklah mengambil kira mengenai kesesuaian tanah / tapak dari segi
kedudukannya, penggunaan, harga dan peruntukan wang yang mencukupi bagi projek
yang hendak dilaksanakan itu.
Di peringkat ini masalah-masalah
sosial dan ekonomi yang mungkin timbul berikutan dari pengambilan itu perlu
diberi perhatian. Tanah yang ada setinggan umpamanya, perlu dielakkan. Untuk
mengambil tanah bagi melaksanakan projek-projek baru, pihak kementerian /
jabatan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa
tempatan dan jabatan-jabatan teknikal lainnya. Walau bagaimanapun pandangan
dari jabatan teknikal tidak diperlukan sekiranya pengambilan itu melibatkan
pembesaran projek yang sedia ada seperti melebarkan jalan dan sebagainya. Pihak
kementerian / jabatan juga hendaklah menentukan sama ada pemberitahuan di bawah
seksyen 4, akta pengambilan tanah (APT) 1960 diperlukan atau tidak.
Keputusan muktamad berhubung
dengan pemilihan tapak hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh
tanah itu hendak diambil. Walau bagaimanapun sekiranya pemberitahuan di bawah
Seksyen 4, APT 1960 diperlukan, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP)
hendaklah diberitahu lebih awal daripada tarikh 6 bulan tanah itu dikehendaki.
2. Permohonan Rasmi
Setelah keputusan muktamad
mengenai pemilihan tapak dibuat, kementerian / jabatan yang berkenaan hendaklah
menulis kepada PTP supaya permohonan rasmi bagi pihaknya dikemukakan kepada PBN
yang berkenaan. Bentuk surat yang perlu disampaikan kepada PTP adalah seperti
di halaman A.
Surat permohonan kepada PTP itu
hendaklah disertakan bersama dengannya pelan-pelan dan dokumen-dokumen yang
berkaitan seperti berikut:-
25 keping pelan pengambilan
menggunakan skil yang sama seperti yang terdapat pada pejabat tanah berkenan.
Sempadan lot-lot yang dipohon
hendaklah diwarnakan merah.
PTP setelah menerima permohonan
daripada kementerian / jabatan, akan mengemukakan permohonan rasmi kepada PBN
melalui Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) dengan menggunakan borang permohonan
khas dengan menghantar salinan-salinan kepada yang berkenaan.
3. Memproses Permohonan
Apabila PT menerima salinan
permohonan rasmi daripada PTP beliau hendaklah mengambil tindakan untuk
memproses permohonan termasuk dengan menyediakan kertas ringkasan untuk
pertimbangan PBN. Kertas ringkasan tersebut di antara lain hendaklah
mengandungi maklumat-maklumat berikut:-
Pewartaan di bawah seksyen 4,
jika kajian mengenai kesesuaian tapak perlu dibuat;
Pewartaan di bawah seksyen 8;
Pengambilan menerusi perakuan
segera di bawah seksyen 19, jika dipohon sedemikian; dan
Pendudukan sementara di bawah
Bahagian vii APT 1960 jika diperlukan.
Apabila kelulusan PBN diperolehi,
PTG diminta memberikan keutamaan supaya pengisytiharan dalam warta kerajaan
dibuat dengan secepat mungkin. Ini perlu kerana tindakan pewartaan itu lazimnya
mengambil masa yang agak lama dan tindakan selanjutnya tidak dapat disegerakan.
4. Penaksiran Harga Tanah
Semasa proses pengisytiharan
warta di bawah Seksyen 8 dibuat, PT diminta menghubungi Pengarah Penilaian dan
Perkhidmatan Harta Negeri yang berkenaan bagi mendapatkan nilaian tanah tanpa
menunggu warta itu disiarkan. Ini bagi mengelakkan kelewatan.
Untuk tujuan mendapatkan
penaksiran tanah dari jabatan penilaian dan perkhidmatan harta, borang seperti
di halaman B hendaklah digunakan.
5. Siasatan Dan Pembayaran
Pampasan
PT hendaklah mengambil perhatian
bahawa salinan borang E dan di mana perlu, borang F, hendaklah disampaikan juga
kepada kementerian/jabatan yang berkenaan. Di bawah seksyen 55(2), wakil
kementerian/jabatan tersebut bolehlah hadir untuk memberi keterangan pada hari
siasatan tersebut dengan mengemukakan surat pengesahan yang ditandatangani oleh
setiausaha kerajaan negeri. Satu salinan borang E hendaklah juga dihantar
kepada PTP untuk maklumannya.
Orang yang berkepentingan atau
wakil mereka, bolehlah hadir pada hari siasatan dijalankan. Apabila siasatan
itu selesai dibuat PT hendaklah memberikan perintah bertulisnya dalam borang G
dan mengeluarkan borang H kepada orang yang berkepentingan. Salinan borang G
dan H hendaklah juga disampaikan kepada kementerian/jabatan yang berkenaan.
Dalam apa juga keadaan sekalipun PT hendaklah memberikan perintah bertulisnya
dalam tempoh 2 tahun dari tarikh warta borang D. Kegagalan berbuat demikian
akan mengakibatkan tempoh borang D itu luput dan kesannya prosiding pengambilan
terbatal.
Setelah menerima salinan borang
H, kementerian/jabatan yang berkenaan hendaklah membuat bayaran pampasan dengan
segera dalam tempuh 3 bulan. Jika mengikut seksyen 29a apt award melebihi RM
15,000 bagi mana-mana tanah yang terjadual, maka 25% pampasan tersebut di tahan
selama 6 minggu iaitu tempuh kementerian/jabatan membuat rayuan di bawah
seksyen 37(3) apt 1960. Jika tiada rayuan dibuat, baki pampasan 25% hendaklah
dibayar beserta faedah 8% dari tarikh bayaran yang pertama. Adalah dicadangkan supaya
kementerian/jabatan membayar keseluruhan pampasan jika tidak bercadang membuat
rayuan/bantahan terhadap award PT.
Dalam keadaan-keadaan yang
dinyatakan pada seksyen 29(1), apt 1960, maka wang tersebut hendaklah
didepositkan di mahkamah atau dalam keadaan di mana orang yang berkepentingan
itu meninggal dunia tanpa wasiat, disimpan di pejabat pegawai pentadbir pusaka
malaysia dengan segera bagi mengelakkan pembayaran faedah 8% setahun. (Lihat
pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian bil. 1/1992). Kementerian/jabatan
hendaklah memaklumkan kepada PTP tarikh bayaran pampasan dibuat.
6. Rujukan Ke Mahkamah
Di atas sebab-sebab yang
disebutkan di bawah seksyen 37 akta pengambilan tanah 1960, mana-mana orang
yang berkepentingan atau pihak yang bagi pihaknya tanah itu diambil boleh
melalui PT membuat rujukan ke mahkamah. Perhatian pihak yang berkenaan adalah
ditarik kepada seksyen 38 yang menentukan cara dan jangkamasa sesuatu rujukan
itu boleh dibuat. Di antara syarat rujukan yang mesti dipatuhi ialah menjelaskan
wang deposit sebanyak yang diminta dalam tempoh 30 hari dari tarikh menerima
surat PT.
No comments:
Post a Comment